Sesi Sembang Santai berkaitan taklimat isu semasa mengenai Krisis Asia Barat telah diadakan pada 9 April 2026 (Khamis), jam 10.00 pagi bertempat di NADI Madani, Taman Mulia Jaya, Lembah Jaya.
Program ini dianjurkan bertujuan untuk memberi pendedahan serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap perkembangan isu global terkini dan kesannya kepada negara dalam suasana yang santai dan terbuka.
Taklimat telah disampaikan oleh Tuan Haji Salehudin Klewan, Pegawai Penerangan Daerah Hulu Langat yang berkongsi maklumat serta penjelasan berkaitan situasi semasa di Asia Barat. Majlis turut dirasmikan oleh YB Syed Ahmad @ Altimet, ADN Lembah Jaya sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa kesedaran masyarakat melalui penyampaian maklumat yang tepat.
Sepanjang program berlangsung, para peserta turut diberi peluang untuk berinteraksi, bertukar pandangan serta mengemukakan soalan bagi mendapatkan pemahaman yang lebih jelas mengenai isu yang dibincangkan.
Kehadiran yang memberangsangkan daripada ketua-ketua masyarakat dan komuniti setempat menunjukkan sambutan yang amat positif terhadap penganjuran program seumpama ini. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu semasa.


